Friday 26 December 2008

Sudah seringkali ku terima salam darinya, rasa teringin menatap wajahnya...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Salam Jumaat yang mulia. Hari ini genaplah seminggu penulis berada di bumi UIA bagi semester terakhir. Hari ini 26 December merupakan hari ulang tahun kelahiran sahabat baik penulis, Ukht Sulastri Ratna. Semalam adalah hari ulang tahun kelahiran adik lelaki penulis. Semoga Sue dan AbeChik sentiasa diberkati, dirahmati dan dilindungi oleh Allah s.w.t di dunia dan di akhirat:)

Suatu petang ustaz penulis berbicara;
Katanya: "Dengarlah, seseorang telah menyampaikan salam buatmu. Hari ini, berkali-kali dia menyampaikan salam untukmu. Begitu juga semalam. Kelmarin dulu pun sama. Sama juga dengan hari-hari sebelum ini. Begitu kerap dan berterusan sekali dia berkirim salam untukmu. Begitu rindu agaknya dia kepadamu. Agaknya begitu teringin dia untuk bertemu denganmu. Tidak tertanya-tanyakah kamu siapakah dia gerangan pengirim salam itu? Tidak inginkah kamu mengenalinya? Melihat wajahnya?"

Penulis menjawab di dalam hati, sudah tentu ingin sekali ku menatap wajahnya. Sudah seringkali ku terima salam darinya. Namun tidak pernah bersua...

Ustaz menyambung bicara;
Katanya: "Begitulah analoginya apabila kita berselawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Setiapkali kita berselawat kepada Rasulullah s.a.w, Malaikat Jibril akan menyampaikan selawat tersebut kepada Baginda s.a.w. Apabila acap kali dan berterusan kita berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan ikhlas, sudah pasti Baginda ingin sekali berjumpa dan mengenali kita."

Hasilnya, berbahagialah orang yang selalu berselawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w menanti suatu pertemuan yang agung antara dia dan Penghulu segala Nabi-Nabi dan umat manusia, Nabi Muhammad s.a.w.

Bermula pada hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan selawat kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Allah menyeru orang-orang yang beriman supaya berselawat keatas Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya, di akhirat nanti Rasulullah s.a.w dapat mengenali umat-umat Baginda yang sentiasa berselawat ke atasnya. Dan, mereka itulah lebih berhak untuk mendapat syafaat daripada Baginda s.a.w.

Wa Allahu a'lam.

Thursday 11 December 2008

Semoga Berbahagia Sahabatku-sahabatku:)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Alhamdulillah, malam ni penulis terpanggil untuk mencatat sesuatu dalam blog ini setelah agak lama menyepi. Malam sebelum-sebelum ni hanya melawat blog sahabat-sahabat je. Nak menulis dalam blog sendiri, terasa terlalu banyak yang hendak dicatatkan. Akhirnya tak tulis apa-apa:) Ralit membaca celoteh dan perkongsian sahabat-sahabat terutamanya sahabat penulis BondaAin.

Dan malam ni, terasa nak mencatat memori indah petang tadi... Gembira dan terharu hati penulis, kawan rapat penulis dah selamat diijabkabulkan. Semoga NorFadilah Abdul Rahman bahagia, diberkati dan dirahmati Allah dunia dan akhirat bersama dengan Akh Fendi jodoh yang ditentukan Allah untuknya. Semoga bahagia selalu duhai teman:)

Raya Puasa baru ni, sorang lagi kawan rapat penulis pun dah selamat melangkah ke alam rumah tangga. Semoga Siti Aishah bahagia dan diberkati Allah bersama zaujnya Akh Al-Naim:) Yang tinggal lagi Noor Hidayah dan penulis. Empat sekawan. Dua dah selamat, tinggal lagi dua orang:)
Terasa baru je kami tinggalkan SMUARA, bersama-sama menimba ilmu. Sekarang Fadilah dan Aishah dah bergelar zaujah orang:)

Apepun penulis sangat gembira. Terbayang-bayang wajah bahagia Fadilah semasa makan beradab tadi. Konsepnya sederhana, tapi memuaskan. Terbayang juga raut wajah kesyukuran ayahanda dan bondanya meraikan hari bahagia puteri sulong harapan keluarga...

Di majlis tadi juga penulis dapat jumpa semula kawan-kawan sekolah yang sudah lama tak berjumpa:) Seronok dan gembira tak terkata:) Patutlah dalam perjalanan hati berdebar-debar, rupa-rupanya nak jumpa kalian semua. Duhai Allah rahmati sahabat-sahabatku, satukanlah hati-hati kami semua dan thabatkan hati-hati kami di atas Aqidah Islamiyyah..

Tuesday 11 November 2008

Rahmati dia Ya Allah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Alhamdulillah, pagi ini adalah pagi terakhir penulis berada di bumi UIAM untuk semester ini. Insya'Allah sekejap lagi akan bertolak pulang. Rindu ayah bonda, sanak saudara di kampung halaman. Semalam adalah hari last penulis dengan final exam, paper developmental psychology. Habis exam pukul lima petang, setelah menunaikan solat asar, penulis bersama-sama tiga sahabat lain menuju ke Taman Melewar melawat seorang sahabat yang sangat dihormati yang sedang diuji dengan kesakitan..

Sampai di sana, lama kami menunggu, dia sedang menunaikan solat. Hampir lima belas minit, dia keluar.. Melihat kelibat sahabat yang seorang ini, hati penulis dan teman-teman yang lain diusik kesayuan. Jauh sungguh bezanya dengan yang kami kenal sebelum ini.. Cuma yang sama dan tetap sama ialah ketenangan dan kebersihan wajahnya.. Air mata yang ingin mengalir cepat-cepat kami seka..

Tumor yang tumbuh di dalam otaknya menekan saraf menyebabkan mata tidak dapat berfungsi dengan baik. Sayu hati kami bila melihat dia terpaksa mengangkat sendiri kelopak mata untuk melihat sahabat-sahabat yang datang. Tangan kiri mula membengkok seolah ditarik, responnya juga agak lambat. Berbeza sewaktu penulis menziarahi beliau di kampung sebelum ini. Ya Allah, hebat ujian ini. Hanya untuk orang yang hebat dan sabar..

Tak lama kami di sana. Waktu hampir senja, kami terpaksa berangkat pulang. Berat ingin tinggalkan, tapi puas rasanya kerana sempat ziarah sebelum pulang ke kampung. Sebelum berpisah, dia minta untuk kami semua doakannya.. Insya'Allah, doa sahabat-sahabat sentiasa mengiringimu duhai teman...

Sekiranya ada sesiapa yang sudi dan berkesempatan membaca tulisan ini, penulis berharap sangat-sangat kepada semua pembaca yang budiman, mohon doakan kesembuhan sahabat penulis ini. Semoga dia tetap sabar dan redha menghadapi ujian-Mu Ya Ilahii..

Tuesday 4 November 2008

Penggunaan istirja'


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam masyarakat melayu kita, penggunaan istirja' (mengucapkan "innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun) sering kali digunakan hanya apabila ada khabar kematian sampai ke telinga. Menjadi pelik sekiranya istirja' ini diucapkan untuk selain daripada mendapat berita kematian.

Penulis teringat satu cerita, seorang anak lelaki pulang ke kampung, lalu ibunya memberitahu bahawa kawan lamanya, yang masih tinggal dikampung terlibat dalam kemalangan minggu lepas. Mendengar khabar sedih tersebut, si anak lantas mengucapkan "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun" Sang Ibu yang leka membancuh teh terkejut dan berpaling sambil berkata: "Eh, belum mati lagi si Abdullah tu. Cuma patah kaki je. Pergilah lawat kat hospital petang ni."

Ini hanyalah satu kes diantara banyak lagi kes-kes yang seumpamanya yang menunjukkan sempitnya kefahaman masyarakat kita tentang penggunaan istirja' ini. Walhal kita digalakkan untuk mengucapkannya apabila berlaku apa-apa sahaja musibah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar ujiaan. Hatta sekiranya pen terjatuh dari tangan, atau sepatu telucut dari kaki, ucapkanlah istirja' ini, semoga kita tergolong dalam golongan (mereka yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk).

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-Baqarah:155-157.
2.155] Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,[2.156] (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun"[2.157] Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Penulis sendiri ada pengalaman berharga berkenaan 3 potong ayat-ayat suci ini. Masih kuat berbekas di ingatan, semasa penulis diuji Allah dengan menghadapi gangguan dalam tidur selama lebih sebulan. Penulis telah ditarik nikmat rehat apabila tidur penulis seringkali tersentak kerana didatangi bayangan-bayangan dan mimpi-mimpi yang menakutkan dan mengerikan. Fenomena ini menyebabkan penulis fobia untuk tidur. Baru sahaja mata terlelap, bayangan hodoh itu datang. Penulis perlu diteman kalau ingin tidur. Ujian ini betul-betul menguji kesabaran penulis dan keluarga.

Walaubagaimanapun, rahmat Allah sangat luas. Luasnya samudera Allah, luas lagi rahmat dan kasih sayangNya pada hamba-hambaNya. Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.

Suatu malam semasa penulis tidur sambil ditemani ummi tercinta, penulis (dalam tidur) membaca ayat 155-157 dari surah albaqarah ini dengan jelas dan tartil sehingga boleh didengar oleh orang disebelah. Apabila selesai, penulis terjaga. Penulis teringat, ayat-ayat ini pernah penulis hafal beserta maknanya sekali. Di malam yang hening itu, Penulis cuba membaca ayat-ayat ini sekali lagi sambil mentadabbur maksud-maksudnya. Apabila sampai kepada potongan ayat "inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" , air mata mengalir dipipi, sebak dan syahdu. Inikah penawar untuk ketakutan selama ini? Penulis mengulang-ulang membaca ayat"innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" sehingga penulis terlena. Dan, malam itu merupakan malam yang bersejarah, penulis tidur dengan lenanya dan bebas dari rasa takut untuk tidur. Tiap kali tidur tersentak dengan mimpi ngeri, penulis akan baca ayat tersebut. Penulis betul-betul mendapat kekuatan darinya. Sampai sekarang, penulis masih mengamalkan bacaan ayat suci ini:)

Kesimpulannya, Istirja' adalah satu doa yang diajar oleh Allah s.w.t untuk kita amalkan apabila ditimpa sesuatu musibah, samaada musibah tersebut kecil ataupun besar. Semoga kita tergolong dalam golongan hamba-hambaNya yang mendapat petunjuk dan sesempurna rahmat dariNya. Ameen.

Salam Pembukaan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam, selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Penulis berasa begitu bersyukur dan gembira kerana akhirnya hajat untuk memiliki blog sendiri tercapai. Hari ini 'BayuMediterranean' akan mula berpupuk:) Penulis betul-betul berharap, laman ini boleh menjadi satu ruang untuk penulis mengasah bakat menulis dan bersama-sama bloggers lain memeriahkan medan dakwah. Semoga penulis sentiasa dan tetap mendapat petunjuk dan pertolongan dari Allah s.w.t dalam merialisasikan impian ini. Semoga Allah selamatkan penulis dari kesesatan dan menyesatkan orang lain. Diharapkan, amal yang tidak seberapa ini mendapat nilaian yang baik disisi Allah.