Tuesday, 4 November 2008

Penggunaan istirja'


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam masyarakat melayu kita, penggunaan istirja' (mengucapkan "innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun) sering kali digunakan hanya apabila ada khabar kematian sampai ke telinga. Menjadi pelik sekiranya istirja' ini diucapkan untuk selain daripada mendapat berita kematian.

Penulis teringat satu cerita, seorang anak lelaki pulang ke kampung, lalu ibunya memberitahu bahawa kawan lamanya, yang masih tinggal dikampung terlibat dalam kemalangan minggu lepas. Mendengar khabar sedih tersebut, si anak lantas mengucapkan "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun" Sang Ibu yang leka membancuh teh terkejut dan berpaling sambil berkata: "Eh, belum mati lagi si Abdullah tu. Cuma patah kaki je. Pergilah lawat kat hospital petang ni."

Ini hanyalah satu kes diantara banyak lagi kes-kes yang seumpamanya yang menunjukkan sempitnya kefahaman masyarakat kita tentang penggunaan istirja' ini. Walhal kita digalakkan untuk mengucapkannya apabila berlaku apa-apa sahaja musibah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar ujiaan. Hatta sekiranya pen terjatuh dari tangan, atau sepatu telucut dari kaki, ucapkanlah istirja' ini, semoga kita tergolong dalam golongan (mereka yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk).

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-Baqarah:155-157.
2.155] Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,[2.156] (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun"[2.157] Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Penulis sendiri ada pengalaman berharga berkenaan 3 potong ayat-ayat suci ini. Masih kuat berbekas di ingatan, semasa penulis diuji Allah dengan menghadapi gangguan dalam tidur selama lebih sebulan. Penulis telah ditarik nikmat rehat apabila tidur penulis seringkali tersentak kerana didatangi bayangan-bayangan dan mimpi-mimpi yang menakutkan dan mengerikan. Fenomena ini menyebabkan penulis fobia untuk tidur. Baru sahaja mata terlelap, bayangan hodoh itu datang. Penulis perlu diteman kalau ingin tidur. Ujian ini betul-betul menguji kesabaran penulis dan keluarga.

Walaubagaimanapun, rahmat Allah sangat luas. Luasnya samudera Allah, luas lagi rahmat dan kasih sayangNya pada hamba-hambaNya. Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.

Suatu malam semasa penulis tidur sambil ditemani ummi tercinta, penulis (dalam tidur) membaca ayat 155-157 dari surah albaqarah ini dengan jelas dan tartil sehingga boleh didengar oleh orang disebelah. Apabila selesai, penulis terjaga. Penulis teringat, ayat-ayat ini pernah penulis hafal beserta maknanya sekali. Di malam yang hening itu, Penulis cuba membaca ayat-ayat ini sekali lagi sambil mentadabbur maksud-maksudnya. Apabila sampai kepada potongan ayat "inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" , air mata mengalir dipipi, sebak dan syahdu. Inikah penawar untuk ketakutan selama ini? Penulis mengulang-ulang membaca ayat"innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" sehingga penulis terlena. Dan, malam itu merupakan malam yang bersejarah, penulis tidur dengan lenanya dan bebas dari rasa takut untuk tidur. Tiap kali tidur tersentak dengan mimpi ngeri, penulis akan baca ayat tersebut. Penulis betul-betul mendapat kekuatan darinya. Sampai sekarang, penulis masih mengamalkan bacaan ayat suci ini:)

Kesimpulannya, Istirja' adalah satu doa yang diajar oleh Allah s.w.t untuk kita amalkan apabila ditimpa sesuatu musibah, samaada musibah tersebut kecil ataupun besar. Semoga kita tergolong dalam golongan hamba-hambaNya yang mendapat petunjuk dan sesempurna rahmat dariNya. Ameen.

No comments: