Friday, 26 December 2008

Sudah seringkali ku terima salam darinya, rasa teringin menatap wajahnya...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Salam Jumaat yang mulia. Hari ini genaplah seminggu penulis berada di bumi UIA bagi semester terakhir. Hari ini 26 December merupakan hari ulang tahun kelahiran sahabat baik penulis, Ukht Sulastri Ratna. Semalam adalah hari ulang tahun kelahiran adik lelaki penulis. Semoga Sue dan AbeChik sentiasa diberkati, dirahmati dan dilindungi oleh Allah s.w.t di dunia dan di akhirat:)

Suatu petang ustaz penulis berbicara;
Katanya: "Dengarlah, seseorang telah menyampaikan salam buatmu. Hari ini, berkali-kali dia menyampaikan salam untukmu. Begitu juga semalam. Kelmarin dulu pun sama. Sama juga dengan hari-hari sebelum ini. Begitu kerap dan berterusan sekali dia berkirim salam untukmu. Begitu rindu agaknya dia kepadamu. Agaknya begitu teringin dia untuk bertemu denganmu. Tidak tertanya-tanyakah kamu siapakah dia gerangan pengirim salam itu? Tidak inginkah kamu mengenalinya? Melihat wajahnya?"

Penulis menjawab di dalam hati, sudah tentu ingin sekali ku menatap wajahnya. Sudah seringkali ku terima salam darinya. Namun tidak pernah bersua...

Ustaz menyambung bicara;
Katanya: "Begitulah analoginya apabila kita berselawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Setiapkali kita berselawat kepada Rasulullah s.a.w, Malaikat Jibril akan menyampaikan selawat tersebut kepada Baginda s.a.w. Apabila acap kali dan berterusan kita berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan ikhlas, sudah pasti Baginda ingin sekali berjumpa dan mengenali kita."

Hasilnya, berbahagialah orang yang selalu berselawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w menanti suatu pertemuan yang agung antara dia dan Penghulu segala Nabi-Nabi dan umat manusia, Nabi Muhammad s.a.w.

Bermula pada hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan selawat kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Allah menyeru orang-orang yang beriman supaya berselawat keatas Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya, di akhirat nanti Rasulullah s.a.w dapat mengenali umat-umat Baginda yang sentiasa berselawat ke atasnya. Dan, mereka itulah lebih berhak untuk mendapat syafaat daripada Baginda s.a.w.

Wa Allahu a'lam.

No comments: