Tuesday, 3 February 2009
Salam Rindu Untuk Keluarga Tercinta;)
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Alhamdulillah, setelah agak lama berdiam diri, hari ini Allah beri kesempatan untuk penulis mencatat sesuatu di dalam blog. Syukur juga, dua daripada assignment untuk semester ini dah berjaya di hantar tadi. Alhamdulillah:) Kawan penulis dah berapa kali bertanya, bila nak update blog. Post la apa-apapun katanya. Yang penting tak sepi.
Hemm, hari ni rasanya ada kesempatan ini, penulis nak berkongsi sesuatu. Nak sahut seruan kawan baik penulis ni. "post la apa- apapun, yang penting tak sepi" Teringin nak menulis tentang keluarga tercinta. Bunga Ros merah di atas penulis hadiahkan khas untuk keluarga tercinta;)
Semalam penulis telefon ummi, minta ummi dan abah doakan penulis kuat semangat dan sabar menyiapkan segala tugasan di universiti. Penulis minta ummi dan abah buat solat hajat. Kata abah, abah dengan ummi sentiasa doakan anak-anak. Sentiasa solat hajat untuk anak-anak. Tapi, anak-anak jangan lupa untuk berdoa dan solat hajat sendiri juga.
Bersembang dengan abah, banyak nasihat diterima. Pesan abah, banyakkanlah bersedekah. Terutama kepada orang-orang 'alim. Kata abah, mereka ni sentiasa doakan kebaikan untuk semua umat Islam. Insya' Allah berkat.
Nasihat abah mengingatkan penulis pada pesan seorang makcik semasa penulis kat pondok Pasir Tumbuh dulu. Kalau kamu nak bersedekah, sedekahlah kepada ustaz-ustaz yang mengajar kat pondok. Mereka ni hidup sederhana, wakafkan diri mereka pada jalan menuntut dan mencurahkan ilmu. Berusaha memastikan ulama'- ulama' Islam akan terus wujud di bumi ini. Mereka tak pernah meminta. Kalau kamu ada rezeki lebih, apa salahnya bersedekah pada mereka.
Penulis teringatkan To' Ayah. Ummi kata, To' Ayah tak berapa sihat. To' Ayah inspirasi penulis. Aktivis PAS di kampung. Setiapkali mengimami solat di masjid kampung atau setiapkali berceramah di masjid To' Ayah tak pernah lupa menyeru dan mengajak orang-orang kampung menyokong perjuangan PAS menegakkan Islam.
Penulis teringat ucapan To' Ayah semasa kami sekeluarga adakan Family Day di Cameron Highland baru-baru ni. Pesan To' Ayah, sentiasalah kita bersyukur. To' Ayah bacakan sepotong ayat Quran. Katanya, Allah dah pesan, "Sekiranya kamu bersyukur pasti akan Aku tambahkan lagi nikmat-Ku kepada kamu. Tetapi sekiranya kamu kufur, (ingatlah) sesungguhnya azab-Ku amat pedih"
To' Ayah pesan, bila ayah dah tak ada nanti, berbaik-baiklah semua. Jangan bergaduh adik beradik. Tolong menolong sesama sendiri. Yang mana Allah kurniakan rezeki yang lebih, bersyukurlah. Bagi yang kurang, usaha lagi. Anggap semua adik beradik sama.. Penulis terharu dengar ucapan ni. Berair mata.
To' Ayah dah tak berapa kuat. Dah berusia. Air muka To' Ayah tenang. Penulis suka tatap wajah To' Ayah. Semasa bercuti baru ni, semua sanak saudara sibuk beramah mesra, penulis teman To' Ayah makan jagung rebus di beranda. Terasa teringin sangat habiskan masa dengannya, mendengar nasihat-nasihatnya.. To' Ayah suka minta cucu-cucunya habiskan minuman dia yang berbaki. Sebelum diberi minuman tu pada kami, dia akan kacau dan bacakan doa. Agaknya doa bagi melembutkan hati-hati kami:)
Semoga penulis masih ada masa dan kesempatan untuk bersama-sama To' Ayah lagi. Di kejauhan ini, penulis rindukan kampung halaman. Ummi, Abah, To' Ayah, Mak, Adik-adik, sanak saudara.. Penulis serahkan mereka semua dalam peliharaan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment